Translate

Sunday 25 December 2011

Fajar memancar pelbagai warna bersusun-susun bagaikan kek lapis Sarawak. Bacaan Al-Fatihah diulang berkali-kali sebagai permulaan hari yang baru dan berharap pengakhiran sebaiknya. Di barat, satu cahaya bagaikan mencelah di celah-celah pokok menunjukkan dirinya. Terang dan berwarna kuning jingga. Lonjakan akal terdetik untuk lebih mengetahui. Lalu jasad bergerak ke hadapan untuk melihat dari posisi yang lebih jelas.

MasyaALLAH, "sang bulan", besar dan mengambang penuh menunggu masa untuk tunduk semula kepadaNYA setelah semalaman hambaNYA mengagungkan kecantikan apabila terlihat fizikalnya. Masa terus berlalu seperti mana sang bulan terus tunduk tanpa menunggu sesiapa. Terus tenggelam tanpa terlihat lagi kecantikannya. MasyaALLAH, MasyaALLAH, MAHA SUCI ALLAH.

Mata hati mencemburui masa untuk melihat kecantikan alam, akal mengajar mengejar kesabaran untuk melihat sesuatu yang lebih indah dari apa yang terlihat oleh mata.

Berkali-kali langkah diatur untuk mengejar masa. Masa yang pantas meninggalkan sesiapa. Hujan yang turun seakan lebat seperti turunnya salji. Kabur pandangan melihat alam. Gerimis hujan ke muka menguji kesabaran. Kesabaran kepada benda yang remeh tapi mampu menjatuhkan iman dalam sekelip mata. Akal dan hati melawan sesama sendiri siapakah yang lebih layak menang? Akal memutuskan untuk memikirkan ALLAH, hati kena akur. Masalah yang bertandang lenyap sebegitu sahaja.

Langit dipenuhi awan berbaris kawad dan berkepul-kepul sehinggakan cahaya matahari tidak mampu singgah ke mukaku seperti saban hari yang dilalui. Membiarkan cahaya matahari terus memancar ke muka dan segenap jasad, menerangi deria-deria untuk terus bermuhasabah bertindak balas kepada ciptaanNYA.


Surah Al-Hijr, ayat 87-99,

87-Sesungguhnya telah Kami turunkan kepada engkau, 7 ayat (Al-Fatihah) yang diulang-ulang membacanya dan Al-Quran yang besar.

88-Janganlah engkau layangkan pemandangan engkau kepada barang yang telah Kami beri kesukaan kepada bermacam-macam orang kafir dan janganlah engkau berduka cita terhadap mereka itu dan rendahkanlah sayap engkau kepada orang-orang yang beriman! (hina dirilah, jangan sombong).

89-Katakanlah : Sesungguhnya aku hanya memberi peringatan yang terang.

90-Sebagaimana Kami telah menurunkan (siksaan) atas orang-orang yang berbagi-bagi (tugas untuk menghalangi orang masuk islam)

91-(Yaitu) orang-orang yang menjadikan Al-Quran ini bermacam-macam (setengahnya betul, setengahnya salah)

92-Demi Tuhanmu, nanti akan Kami tanyai mereka itu semuanya.

93-Tentang apa-apa yang mereka kerjakan.

94-Maka seru apa-apa yang diperintahkan (ALLAH) kepadamu dan berpalinglah daripada orang-orang musyrik!

95-Sesungguhnya Kami cukupkan (pelihara) engkau dari orang-orang yang memperolok-olokkan engkau,

96-(Yaitu) orang-orang yang mengadakan serta ALLAH tuhan yang lain. Nanti mereka itu akan tahu.

97-Sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa dada engkau sesak, sebab perkataan mereka itu.

98-Sebab itu tasbihlah engkau, serta memuji Tuhanmu dan hendaklah engkau termasuk orang-orang yang sujud.

99-Dan sembahlah Tuhanmu sehingga sampai kepadamu keyakinan (mati).


Malam itu, aku menonton televisyen berkisarkan cara penghidupan masyarakat barat di Las Vegas. Serba serbinya indah di dunia penuh dengan maksiat. Hati mati seketika kagum melihat semua itu. Maka, semalaman tanpa boleh melelapkan mata memikirkan dunia. Hati memanggil untuk membaca Al-Quran, dijumpai potongan bait-bait kata-kata indah ALLAH kepada hambaNYA terkena tepat ke dalam dada. Sesak dan menakutkan. Aku memeluk tubuh takut kepadaNYA. Sayangnya ALLAH kepadaku sungguh aku telah menganiaya diriku sendiri seketika tadi. MasyaALLAH.

"Terima kasih membaca"

Thursday 15 December 2011

Ganjil, rasa terasing, keseorangan melihat peredaran sekeliling merentasi masa dengan pemandangan tanah lapang dengan permaidani rumput segar membawa satu perjalanan panjang ke destinasi. Dengan tertanam dalam-dalam satu hajat sebagai tanda berusaha, dengan wang yang dikumpul diduga dengan sebuah keikhlasan sebagai keberkatan perjuangan untuk meneruskan kejayaan.

Tanpa menoleh ke belakang, dengan tekad yang luhur meneruskan walau pelbagai duri-duri tajam, selut paya yang menelan bulat-bulat tanpa mengenal mangsa.

Bercerita perihal perasaan, sebagai iringan, perasaan itu masih ada, perasaan yang sama seperti dulu, saat mengenali, izinkan menetap di hati walaupun nyata ia bukan untukku, sungguh satu kesalahan berperasaan terhadap sang pemilik orang, jujur, ia tenang tinggal di situ, terwujud ketenangan, dan prinsip hidupku mencari sebuah ketenangan bersama sang pencipta. Ingatan dan mempunyai perasaan bukan tanda memiliki tanpa lafaz yang sah. Berbalik kepada hukum.

Jika ingatanku semakin dekat dengan pencipta kerana pembantuan "dia", maka ALHAMDULILLAH. Tiada yang patut disesalkan kerana sebuah pengajaran yang ALLAH beri kepada hambaNYA. Kepercayaan kepada ALLAH atas pembahagian yang lebih baik selepasnya.

Penciptaan Nabi Adam a.s, walau baginda mempunyai iman yang kental, dekat dengan ALLAH, dihiasi dengan pelbagai nikmat, telah menjadi fitrah manusia hidup berpasangan, maka terciptalah Hawa dengan izin ALLAH. Tenanglah Nabi Adam a.s dengan kehadiran Hawa.

Permintaan pada yang MAHA ESA, agar diberikan yang lebih baik darinya, agar terhapuslah segala perasaan ini terhadapnya, telah terjadinya aku disertai fitrah.

Berbalik kepada tekad yang asal, satu usaha untuk sampai ke rumahNYA. Di sana, segala hajat akan tercapai. InsyaALLAH, moga-moga dipermudahkan jalannya.

"Terima kasih membaca"

Thursday 1 December 2011

Sinar cahaya bulan sabit dilindungi sekelompok anak awan berwarna kehitaman. Namun, sekumpulan anak-anak awan itu tidak dapat sama sekali menutupi keseluruhan cahaya bulan sabit. Di atas bukit, kelihatan bulan sabit dengan jelasnya memancarkan cahayanya keseluruh pelusuk tempat.

Bulan sabit semakin membesarkan dirinya sehinggakan lampu neon yang terang benderang di tepi jalan sedikitpun tidak mengubah pandanganku pada sang bulan. Badanku menjadi seram sejuk tatkala menyaksikan kejadian ajaib itu.

Kiamat semakin dekat, sesungguh mungkin aku tidak mahu terlepas dari berlumba-lumba mengejar kebaikan. Dengan kebolehan dan kemahuan InsyaALLAH segalanya dapat ditempuhi dengan kebaikan. InsyaALLAH, InsyaALLAH.

Aku dicuba lagi dengan dugaan yang sama. Aku harus bijak menyelesaikannya, sungguh aku buntu untuk memilih mana yang lebih baik buatku kerana pelbagai soalan yang bertubi-tubi mengasak keras otakku untuk memikirkan jawapan. Akhirnya, tanpa perlu berfikir panjang, aku memilih untuk mencari ALLAH.

Apa tujuan aku hidup di muka ALLAH yang serba serbinya lengkap? Semestinya, aku ingin menyembahNYA yang MAHA ESA, mengagungkan kekuasaanNYA. Islam ini mudah, mengapalah aku tidak berfikir lagi awalnya tentang semua ini. Sekiranya aku berfikir, masalah tidak akan menjadi serumit ini. Walau apa pun, masih belum terlambat untuk mengejarnya, InsyaALLAH.

Aku percaya kepada kebahagiaan. Kebahagiaan bersama ALLAH disusuli kebahagiaan bersama hambaNYA. Sekiranya aku dapat mencapai segala kebahagiaan bersama ALLAH, kebahagiaan bersama hambaNYA menjadi milikku. InsyaALLAH.

"Terima kasih membaca"