Translate

Thursday 15 November 2012

Kesempatan ini

Menggoreng kelapa goreng memerlukan kesabaran yang tinggi. Apinya perlahan dan disodoknya bontot kuali besi sehingga tiada yang hangit. Peluh menyimbah bumi.

Kesabaran dan sifat terus terang yang tulus adalah wajar untuk setiap jiwa yang perlukan ketenangan di waktu yang gering.

Sama ada pilihan hati kering bagaikan tembok sekebal binaan Zulkarnain ataupun seseorang yang memang sedang dalam perubahan.

Beri peluang kepada yang ada sedia menghulur tangan yang berbekas sisa-sisa darah.

Bauan bunga kemboja masih menusuk dalam.

Aku telah pergi sejauh perjalanan ini, tidak lama beberapa tahun mendatang ajal tetap akan tiba. Setiap yang pergi tiada memberi sebarang khabar. Warkah khabar bahagia dari sana. Tersentak sendirian mendengar berita kematian. Aku kirimkan warkah teragung untuk kebahagiaanmu. InsyaALLAH, kita ditemukan dengan perjanjian nanti.

Tunggu aku sahabat...

"Terima kasih membaca"

Wednesday 14 November 2012

Diam

Saat yang ditunggu-tunggu tidak lama sahaja lagi. Hanya sekejap. Aku hanya mampu diam. Diam menunggu jawapan dari mendatang. Pada pandangan kamu, kenyataan adalah kecil. Bagi yang telah merasa betapa susah, jatuh tersungkur, hina dan dina akan merasa "besar". Itulah yang mahal. Nilainya. Kualitinya.

Saat tiba, setiap kenyataan yang tersembur keluar bagaikan ledakan supernova cukup untuk menutup mulut mereka. Menyumbat sedalam mungkin ke dalam kerongkong mereka agar mereka diam, terkejut menelopong akan kenyataan yang dipandang remeh dan kecil.

Sahaja aku membiarkan mereka dalam dilema. Belajar bagaimana untuk bangkit menggapai langit setelah bibir bengkak berdarah jatuh tersungkur membaham tanah hitam.

ALLAH MAHA BERKUASA, ditunjukNYA setiap keremehan dan kekerdilan pandangan kamu kepada mereka mustahil dan luar biasa menjadi nyata. Itulah hidup.

ALLAH menentukan setiap takdir, mereka mengadili dengan mencincang setiap jiwa murni yang mahu bangkit. Mengapa kita begitu zalim?



"Terima kasih membaca"